Kajian Minyak Ikan – Bagus Untuk Orang Malaysia ?

minyak ikan

Kajian Minyak ikan, menunjukkan minyak ikan mengandungi dua jenis lemak asid poli tak tepu: asid dokosaheksanoik (docosahexanoic acid, DHA) dan asid ekosapentanoik (eicosapentanoic acid, EPA) – kedua-duanya ialah lemak asid omega-3. Ia juga mengandungi paras omega-3 yang tinggi tetapi vitamin A dan D yang rendah berbanding minyak hati ikan kod.

Ikan berminyak diuar-uarkan menawarkan manfaat kesihatan yang lebih baik berbanding ikan isi putih dengan andaian ia mengandungi paras EPA dan DHA yang tinggi. Namun, pandangan tersebut masih belum dibuktikan secara saintifik melalui kajian melibatkan saiz penduduk besar.

KAJIAN MINYAK IKAN

Kajian yang dijalankan sejak 10 tahun lalu yang cuba mencari kaitan antara pengambilan minyak ikan dengan beberapa manfaat kesihatan menunjukkan keputusan bercampur. Sebahagian kajian menunjukkan ia dapat membantu mencegah atau meredakan masalah kesihatan manakala terdapat juga kajian yang menunjukkan keputusan neutral.

Minyak ikan dikatakan boleh membantu penghidap multiple sclerosis. Bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh beberapa orang saintis penyelidik dari Hospital Universiti di Bergen, Norway pada April 2012 mendapati lemak asid tidak membantu penghidap multiple sclerosis.

Terdapat kajian menunjukkan orang lelaki yang mengambil minyak membantu menurunkan risiko kanser prostat jika ia mengamalkan diet rendah lemak. Kajian lain pula mendapati kaitan antara omega-3 dengan risiko kanser prostat jenis agresif.

KES LEMAH

Kajian yang dilaporkan dalam Journal of the National Cancer Institute mendapati bahawa minyak ikan meningkatkan risiko kanser prostat. Phyllis Goodman dan rakan-rakan dari Fred Hutchinson Cancer Research Center pula melaporkan terdapat kaitan antara kepekatan EPA, DHA dan DPA (docosapentanoic acid) yang tinggi dalam tubuh dengan risiko kanser prostat gred tinggi sebanyak 71 peratus dan semua jenis kanser prostat sebanyak 43 peratus.

Kajian yang dimaksudkan berjudul Serum Phospholipid Fatty Acids and Prostate Cancer Risk: Results From the Prostate Cancer Prevention Trial terbit dalam American Journal of Epidemiology (April 24, 2011).

Saintis penyelidik kajian berpendapat bahawa asid lemak omega-3 dipercayai berubah kepada sebatian yang merosakkan sel dan DNA (penulis: serangan radikal ke atas minyak poli tak tepu menyebabkan ia bertukar kepada molekul radikal bebas) serta mengurangkan kecekapan fungsi sistem imun (immunosuppressive). Namun, penyelidik mengaku tidak mengetahui sama ada kesan tersebut memberi pengaruh kepada risiko kanser.

Kajian di atas dikritik dengan alasan ia tiada kena mengena langsung dengan pengambilan minyak ikan atau suplemen omega-3. Saintis penyelidik dikatakan sekadar mengukur paras EPA, DHA dan DPA dalam darah subjek yang mengalami dan tidak mengalami kanser prostat. Ujian mendapati subjek lelaki yang menghidap kanser prostat mengalami paras omega-3 yang tinggi dalam darah!

Pakar-pakar Mayo Clinic dalam kenyataan media berjudul Omega – 3 and Prostate Cancer: Examining the Evidence antara lain menyatakan kajian tersebut bukan kajian terkawal secara rawak. Jadi, ia tidak boleh membuktikan pengambilan suplemen minyak ikan atau minyak ikan berminyak menyebabkan kanser prostat.

MINYAK IKAN KETIKA MENGANDUNG

Minyak ikan yang diambil ketika mengandung didapati dapat membantu wanita mengandung daripada mengalami meroyan (post-partum depression). Dr. Michelle Price Judge dari University of Connecticut School of Nursing berkata selepas menjalankan kajian pada 2011 bahawa pengambilan DHA ketika mengandung pada paras menyamai yang didapati daripada makanan berpotensi mengurangkan simtom meroyan.

Kajian sulung yang dijalankan pada 2007 mencadangkan minyak ikan boleh membantu remaja yang mengalami masalah kelakuan terutama ADHD. Kajian yang berlangsung selama lapan minggu tersebut menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengambil antara 16 – 18 gram EPA dan DHA setiap hari berupayan memperbaiki kelakuan mereka (dinilai oleh ibu-bapa dan pskiatris).

Sila semak kajian berjudul Effects of an open-label pilot study with high-dose EPA/DHA concentrates on plasma phospholipids and behavior in children with attention deficit hyperactivity disorder yang terbit dalam Nutrition Journal (2007).

Kajian berjudul Improved Working Memory but No Effect on Striatal Vesicular Monoamine Transporter Type 2 after Omega-3 Polyunsaturated Fatty Acid Supplementation yang terbit dalam jurnal PLOS One (Oktober 2012) menunjukkan pengambilan asid omega-3 (EPA dan DHA) dapat memperbaiki memori pada orang ‘dewasa muda’ (young adult: julat umur 20-39 tahun).

Sebaliknya kajian berbentuk semakan bersistematik ke atas beberapa kajian berlangsung sehingga 3.5 tahun berjudul Omega 3 fatty acid for the prevention of cognitive decline and dementia yang ditertbitkan oleh The Cochrane Library (Jun 2012) menunjukkan suplemen omega-3 tidak menawarkan sebarang manfaat kepada kesihatan kognitif berbanding pengambilan kapsul plasebo atau marjerin. Saintis penyelidik menyarankan kajian masa hadapan yang melibatkan tempoh lebih panjang.

Asid lemak omega-3 yang terdapat dalam minyak ikan boleh melindungi jantung dari stres mental. Kajian yang terbit dalam American Journal of Physiology – Regulatory, Integrative, and Comparative Physiology menunjukkan mereka yang mengambil suplemen minyak ikan melebihi sebulan mengalami stres mental yang rendah pada bacaan kesihatan kardiovaskular berbanding dengan mereka yang tidak berbuat demikian.

KEPUTUSAN NEGATIF

Sebahagian besar kajian terkini menunjukkan kaitan penggunaan minyak ikan dengan risiko penyakit jantung adalah negatif. Dakwaan bahawa pengambilan minyak ikan secara kerap dapat membantu mencegah penyakit Alzheimer. Namun, kajian pada tahun 2010 mendapati minyak ikan dan plasebo tidak menunjukkan perbezaan dalam pencegahan penyakit Alzheimer.

Kajian yang terbit dalam jurnal Neurology pada 2007 melaporkan bahawa makanan terdiri dari ikan, minyak omega-3, buah-buahan dan sayur-sayuran menurunkan risiko dementia dan Alzheimer. Pandangan penulis ialah makanan yang diambil bersifat holistik kerana ikan menyumbang protein, pelbagai vitamin dan mineral. Protein digunakan untuk bina enzim dan neurotransmitter. Antioksdian dari buah-buahan dan sayur-sayuran pula mencegah oksidasi.

Kajian juga mendapati terdapat kaitan antara pengambilan minyak omega-3 dengan pencegahan kebutaan, membantu kesihatan janin (pembentukan kognitif dan motor), kurangkan kekerapan sawan babi dan kurangkan risiko skizoprenia/psikosis.

Sebagai penutup penulis berpendapat bahawa berdasarkan profil keselamatan minyak ikan yang setakat ini adalah cemerlang, ia boleh digunakan untuk mencegah atau meredakan masalah kesihatan yang dialami oleh sebahagian individu (keberkesanan bergantung kepada pelbagai faktor misalnya metabolisme dan ekspresi gen) jika ia diambil pada sukatan yang betul di samping mengutamakan gaya hidup serta diet yang sesuai.

sumber: sinarharian

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply