Rawatan Kanser

kanser

Rawatan Kanser. Dalam mencari pelbagai alternatif dan produk tambahan untuk mencegah atau merawat masalah barah, sebaiknya kita memahami beberapa jenis rawatan kanser konvensional yang ada dalam dunia. Beberapa kali kami dengar ada yang cuba mengelak rawatan seperti kimoterapi dan sebagainya. Jadi ianya bercanggah dengan prinsip kami, sila rujuk kepada doktor, dan sambil itu amalkan suplemen tambahan.

Jadi penting kita mengetahui beberapa jenis rawatan yang wujud, ianya bukanlah untuk menakut-nakutkan kita, tetapi kita patut faham dan sentiasa membaca supaya kita faham masalah kanser yang kita hadapi.

Rawatan Kanser

Apapun jenis rawatan yang ada tujuannya yang utama adalah untuk membuang sel-sel kanser sebanyak yang boleh dan mengelakkan ia merebak dengan lebih cepat serta mengelakkan kanser datang kembali walaupun pesakit sudah mendapat proses rawatan yang optimum.

Rawatan yang diberikan tidak hanya tertumpu kepada satu bidang kepakaran sahaja. Ia melibatkan pelbagai disiplin kepakaran daripada pakar bedah, pakar onkologi perubatan dan nuclear, pakar bedah plastik dan rekonstruktif, jurupulih fisioterapi dan anggota, kaunselor dan juga jururawat. Gabungan rawatan seperti ini dikenali sebagai pendekatan multidisiplin (multidisciplinary approach).

Dalam memberi rawatan yang terbaik dan optimum kepada pesakit, beberapa faktor akan diambil kira oleh pakar-pakar yang merawat. Antara faktor tersebut adalah jenis kanser payudara, tahap kanser berdasarkan saiz dan berapa jauh ia sudah merebak, reseptor hormon yang terdapat dalam sel kanser tersebut, kehadiran mutasi pada genetik kanser seperti BRCA1 atau BRCA2 serta faktor yang melibatkan umur serta kesihatan pesakit dan tidak lupa juga kepada keutamaan peribadi pesakit.

1. Pembedahan

Secara amnya semakin kecil saiz tumor, semakin banyak pilihan yang ada bagi pesakit. Pembedahan biasanya dilakukan bagi tahap awal kanser payudara. Objektifnya adalah untuk memberikan kesembuhan sepenuhnya kepada pesakit. Terdapat dua jenis pembedahan utama yang kebiasaannya dilakukan kepada pesakit kanser payudara iaitu:

  • Lumpektomi – membuang tumor dan tisu-tisu sekelilingnya
  • Mastektomi – membuang keseluruhan payudara sama ada bersama dengan kulit dan puting susu atau tidak.

Dalam pembedahan ini juga sebahagian dari kelenjar limpa di bahagian ketiak (axillary) juga mungkin diambil untuk diperiksa di bawah mikroskop. Teknik ini dinamakan sentinel lymph node biopsy. Pewarna biru akan disuntik melalui putting susu atau areola. Kelenjar limfa pertama yang menerima pewarna tersebut akan diambil sampel untuk diperiksa. Jika tiada sel kanser yang ditemui, kemungkinan besar tidak merebak ke tempat lain dan kelenjar limfa selebihnya tidak lagi perlu dibuang. Jika sebaliknya kelenjar limfa selebihnya perlu dibuang.

Namun begitu, jika saiz tumor adalah lebih besar dan sukar dibedah rawatan kimoterapi dan radiasi sebelum pembedahan akan diberi untuk mengurangkan saiz tumor tersebut. Rawatan ini dinamakan sebagai rawatan neoadjuvan.

Bagi pesakit yang menjalani pembedahan mastektomi, pembedahan rekonstruktif payudara mungkin diperlukan untuk “membina” semula payudara yang telah dibuang. Walaupun payudara yang digantikan semula tidak akan memberikan fungsi yang sama, ia adalah penting untuk psikologi pesakit kerana bahagian badan ini melambangkan kewanitaannya.

2. Radioterapi

Ia merupakan rawatan sinaran-x berkuasa tinggi untuk menghapuskan sel-sel kanser. Rawatan ini adalah merupakan rawatan susulan sekiranya pesakit selesai menjalani pembedahan lumpektomi.

Rawatan ini melibatkan penggunaan pancaran bertenaga tinggi (seperti x-ray) untuk membunuh atau mengecutkan sel-sel kanser. Radiasi mungkin dari luar badan (radiasi luaran) atau dari bahan radioaktif yang diletakkan pada ketumbuhan (brachytherapy). Ia membantu memusnahkan sel kanser yang masih tertinggal di dalam payudara, dinding dada atau bahagian ketiak selepas pembedahan. Kadang- kadang ianya digunakan untuk mengurangkan saiz ketumbuhan sebelum pembedahan.

Setiap rawatan biasanya mengambil masa beberapa minit. Ia kebiasaanya diberi 5 hari seminggu sebagai pesakit luar untuk selama 6 atau 7 minggu. Ia bermula sebulan selepas pembedahan. Ia akan membantu meningkatkan peluang pesakit untuk sembuh dan mengelakkan daripada sel kanser kembali semula selepas pembedahan dilakukan.

Setiap rawatan tetap akan mempunyai kesan sampingannya sendiri. Begitu juga dengan rawatan radioterapi. Kebiasaanya pesakit akan mengadu rasa penat dan lemah, payudara dan lengan membengkak, kulit yang menjadi merah, gelap dan panas serta kadang kala kulit melepuh.

3. Kimoterapi

Kimoterapi adalah rawatan membunuh sel-sel kanser menggunakan ubat-ubatan tertentu. Ia diberikan sama ada melalui intravena (IV) atau pil dan kapsul. Sekiranya kimoterapi diberi selepas pembedahania dapat kurangkan kemungkinan kanser berulang.

Kimoterapi juga merupakan rawatan utama yang diberi bila kanser telah merebak menjangkaui luar payudara dan di kawasan ketiak atau rebakan meluas selepas rawatan pertama. Kimoterapi juga diberi sebelum pembedahan bagi mengurangkan saiz ketumbuhan supaya ia senang dibuang. Kimoterapi mempunyai kesan sampingan namun kebanyakannya boleh dikawal dan diuruskan. Antaranya adalah loya dan muntah, ulser di dalam mulut dan bibir, kekurangan sel darah putih dan juga pesakit boleh terdedah kepada jangkitan kuman disebabkan kekurangan tahap imunisasi di dalam tubuh.

4. Rawatan berasaskan Hormon

Rawatan ini juga digelar terapi endokrin di mana ia diberikan kepada pesakit yang mempunyai reseptor estrogen atau progesterone pada tumor. Tumor yang sebegini membesar dan berkembang bergantung kepada hormon estrogen dan progesteron. Pembesaran sel kanser tersebut akan terbantut jika tindak balas hormon itu dapat disekat dengan rawatan yang diberikan.

5. Terapi bersasar biologi (targeted biological therapy)

Rawatan terbaru yang mengsasarkan genetik, protein dan persekitaran tisu yang menyumbang kepada pertumbuhan sel-sel kanser tersebut. Ia sangat khusus dan berbeza dengan rawatan kimoterapi biasa. Rawatan ini memerlukan kos rawatan yang tinggi dan ia digunakan untuk pesakit kanser di tahap akhir di mana matlamatnya adalah untuk meningkatkan jangka hayat pesakit tersebut lebih lama.

Selain daripada pilihan-pilihan rawatan yang dinyatakan di atas, pesakit juga perlu mendapat sokongan dan rawatan psikologi. Ini adalah penting untuk memberikan motivasi kepada pesakit untuk meneruskan kelangsungan hidup dan menjalani rawatan susulan selanjutnya. Sokongan daripada ahli keluarga dan orang sekeliling juga akan membantu proses rawatan kepada pesakit kanser payudara lebih efektif dan berkesan.

Kajian penggunaan suplemen dalam kalangan pesakit kanser payudara

Satu kajian telah dijalankan oleh penyelidik tempatan dalam laporannya yang bertajuk “Penggunaan Ubat-ubatan Tambahan dan Alternatif dalam Kalangan Pesakit Barah Payudara yang Terselamat”, disiarkan pada tahun 2011.

Secara amnya, kajian itu memberi kesimpulan bahawa penggunaan suplemen dan vitamin, dikategorikan sebagai CAM (Complimentary & Alternative Medicine) didapati berkesan dan memberi manfaat dengan mengukuhkan jati diri pesakit untuk melawan kanser.

Dalam kajian itu juga didapati sebanyak 64% pesakit menggunakan CAM dan yang paling biasa diambil adalah suplemen diet sebanyak 86%. Antara suplemen payudara dan vitamin yang tersenarai adalah seperti berikut:

Multivitamin dan zat besi
Kalsium
Spirulina
Vitamin A, B kompleks, C, D dan E
Evening Primrose Oil
Produk herba dan lain-lain seperti agar-agar rumpai laut, minyak ikan, ginkgo biloba, bawang putih, ekstrak ginseng, teh hijau dan aloe vera

sumber: harakahdaily

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply